JPN nafi dakwaan guna surat sokongan lulus permohonan pengenalan diri di Sabah

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penegasan penting mengenai ketulusan jabatan itu dalam isu kelulusan dokumen pengenalan diri di Sabah.

Perkara itu ditegaskan oleh JPN dalam satu kenyataan media, hari ini, bagi menepis dakwaan serta menjelaskan isu penularan sekeping surat layang bertarikh 26 April 2019 yang didakwa mengandungi minit oleh Ketua Menteri Sabah pada ketika itu mengenai sokongan terhadap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri.

“JPN ingin menegaskan bahawa setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakhluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat-kuasa,” katanya.

Oleh itu, katanya, kesemua permohonan berhubung dokumen pengenalan diri sememangnya akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“JPN tidak akan meluluskan permohonan secara sewenang-wenangnya, walaupun permohonan disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Jabatan itu turut menjelaskan, MyKas merupakan dokuman pengenalan diri Pemastautin Sementara yang diberikan kepada individu yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.

“Pemegang MyKas tidak memperoleh sebarang kelebihan kewarganegaraan, sebaliknya perlu memenuhi syarat-syarat ketat sebelum boleh memohon status MyPR dan seterusnya MyKAD yang bergantung kepada tempoh pemastautinan dan kelayakan yang ditetapkan.

“Walaubagaimanapun, bagi pemegang MyKAS yang diluluskan secara bertempoh setiap lima tahun, mereka masih perlu berusaha mengesan asal usul mereka seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Sehubungan itu, JPN berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus yang telus dan profesional dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri.

Untuk maklumat lanjut dan sahih katanya, orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi dan mengikuti saluran media sosial rasmi JPN.

Anda Mungkin Berminat