Anwar ucap tahniah kepada Presiden baharu Syria, komited kukuh hubungan dua hala

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, atas pembentukan kerajaan baharu bagi negara itu.

Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Syria terutamanya dalam sektor ekonomi.

“Malaysia bersedia menggalakkan pelaburan syarikat tempatan untuk bersama-sama menyumbang dalam usaha pembinaan semula Syria.

“Presiden al-Sharaa turut menjemput saya untuk melawat Syria sebagai usaha mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya pada Isnin.

Terdahulu, selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad yang memerintah selama 45 tahun, Syria kini memasuki fasa baharu di bawah pimpinan Ahmed al-Sharaa.

Peralihan itu disambut baik oleh komuniti antarabangsa termasuk Malaysia yang melihatnya sebagai peluang untuk memupuk kestabilan serantau.

Malaysia juga telah lama membina hubungan perdagangan dengan Syria khususnya melalui eksport minyak sawit, minyak sayuran dan produk berasaskan getah.

Walaupun perdagangan menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, usaha diplomatik dan kerjasama ekonomi kini dianggap sebagai peluang emas untuk memperbaharui hubungan perdagangan dan saling membantu.

Anda Mungkin Berminat