PRK Ayer Kuning: AMANAH pastikan calon Kerajaan Perpaduan peroleh kemenangan

AYER KUNING: Parti Amanah Negara (AMANAH) memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK Ayer Kuning di Tapah, Perak, semalam.

Menurut Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan, sokongan kepada calon BN itu selaras dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik dan kemajuan negeri Perak.

“AMANAH pernah bertanding di kawasan ini sebelum ini, namun demi kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan, kami akan menggerakkan seluruh jentera untuk membantu kemenangan calon BN di PRK kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Sany, jentera AMANAH dari seluruh negara termasuk pasukan dari luar Perak akan digerakkan ke kawasan berkenaan dalam mobilisasi besar-besaran menjelang PRK.

Katanya, AMANAH yakin kerjasama erat antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

Anda Mungkin Berminat