PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki yang berlari dalam keadaan bogel di Simpang Tiga Persiaran Kayangan, Seksyen 8, Shah Alam pagi tadi disahkan mengalami gangguan mental.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Seksyen 6 di sini menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi dan ke lokasi remaja terbabit.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota RCJ berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun.
“Setelah dipujuk serta ditenangkan, remaja lelaki berkenaan berjaya dibawa balik ke Balai Polis Seksyen 6.
“Anggota Balai Polis Seksyen 6 memberikan pakaian kepada remaja terbabit.
“Remaja ini didapati hanya boleh berinteraksi menggunakan isyarat tangan dan dia menulis nombor telefon individu yang boleh dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Iqbal berkata, sebaik dihubungi, bapa saudara kepada remaja terbabit hadir di Balai Polis Seksyen 6 dan memaklumkan anak saudaranya tinggal bersamanya di Seksyen 9 di sini.
“Menurutnya, anak saudaranya mengalami masalah gangguan mental dan sebelum ini mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Remaja berkenaan sudah diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” katanya.
Terdahulu, tindakan remaja lelaki berkenaan yang berlari dalam keadaan bogel mengejutkan pengguna jalan raya di Persiaran Kayangan, Seksyen 8 dan kejadian itu tular di media sosial.