PETALING JAYA: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap reformasi institusi dengan langkah memperkasakan proses pelantikan kehakiman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata, kerajaan menghormati hak individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran kehakiman tanpa campur tangan atau prejudis.
Namun, isu struktur dan keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) serta peranannya dalam pelantikan kehakiman telah lama menjadi perdebatan.
“Menyedari kepentingan isu ini, Kerajaan MADANI berjanji untuk meneliti semula kerangka kerja SPK secara menyeluruh dengan matlamat memastikan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman, sambil memelihara peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan NGO untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.
Perdana Menteri juga menekankan bahawa reformasi yang bakal dilaksanakan akan memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin,” ujarnya.
Justeru, katanya, Kerajaan MADANI terus berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.