PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif sebagai peneraju dalam menyatukan negara-negara serantau dan Islam bagi menghadapi krisis ekonomi global yang dicetuskan oleh dasar perlindungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap keadilan ekonomi global dilihat berpotensi besar untuk menjadi pemangkin kerjasama ekonomi yang lebih adil dan seimbang.

“Pertemuan antara China, Jepun dan Korea Selatan di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi bukti kepercayaan kuasa-kuasa besar terhadap peranan Malaysia sebagai platform dialog yang neutral dan strategik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, situasi ini membuka ruang persimpangan baharu bukan hanya kepada negara-negara ASEAN, malah melibatkan dunia Islam, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain untuk menerokai laluan perdagangan yang lebih saksama.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Fahmi menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama bagi menangani tekanan ekonomi yang timbul daripada kenaikan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat.
Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu bentuk hegemoni ekonomi, yang bertujuan mengekalkan dominasi Amerika dalam geopolitik dunia, dan bukan semata-mata berkaitan keuntungan perdagangan.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menyeru agar negara-negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), khususnya negara Teluk (GCC), mengambil peluang memperkukuh kerjasama ekonomi bersama blok ASEAN Plus Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan), terutama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadualkan berlangsung akhir Mei 2025.
“Dunia Islam perlu proaktif dan bersatu dalam mencorak semula ekosistem ekonomi global yang lebih adil dan saksama untuk semua,” tegas Ahmad Fahmi.
Baca juga: