“Blood Brothers: Bara Naga” gegar panggung, aksi dan visual raih pujian penonton!

Oleh: Aliyaa Azmi

FILEM aksi terbaharu arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga, berjaya mencuri perhatian ramai sejak mula ditayangkan hari ini di pawagam seluruh negara.

Dengan barisan pelakon popular seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan ramai lagi, filem ini mendapat sambutan luar biasa daripada penonton yang rata-ratanya memuji gabungan aksi, sinematografi, dan naratif penuh kejutan.

Di media sosial, ramai yang berkongsi pengalaman mereka selepas menonton filem ini. Ada yang menyifatkan jalan ceritanya sebagai “padu gila” dan ada juga yang kagum dengan babak pertarungan yang dikatakan setanding filem aksi antarabangsa.

“Aksi dia macam tak berhenti, setiap babak buat kita rasa macam naik rollercoaster,” kata salah seorang penonton di X.

KUALITI PRODUKSI DAPAT PUJIAN

Antara aspek yang turut mendapat pujian adalah kualiti produksi yang setanding filem antarabangsa. Penggunaan teknik sinematografi yang mantap, pencahayaan dramatik, serta reka bentuk set yang kemas berjaya menaikkan mood keseluruhan cerita.

Koreografi pertarungan yang agresif dan realistik turut menyerlah, menjadikan setiap babak aksi terasa mendebarkan dan immersive.

Menurut pengkritik filem Akmal Hamzah, Blood Brothers menetapkan penanda aras baru dalam kualiti visual filem tempatan. Beberapa babak yang ringkas namun menarik, menunjukkan kemajuan besar dalam industri perfileman Malaysia.

“Dari segi lakonan, selain Syafiqah Alshanasamat dan Syukri Yahya yang memukau dengan aksi stunt mereka, Syazwan Zulkifli yang membawa watak Jackie turut diberi pujian”

“Kelebihan utama Syazwan adalah kemampuannya menyeimbangkan elemen emosi dan komedi dalam satu watak, memberikan dimensi yang lebih mendalam pada ceritanya,” katanya dalam satu perkongsian di Instagram.

Walaupun ada yang berpendapat jalan cerita sedikit boleh dijangka, elemen plot twist tetap memberi kejutan kepada penonton.

Sedikit sinopsis, filem ini mengangkat tema pengkhianatan, kepercayaan dan erti persaudaraan dalam dunia gelap penuh konflik. Filem ini tidak hanya padat dengan aksi, tetapi turut menyentuh sisi emosi yang mendalam.

Jangan lupa untuk saksikan Blood Brothers: Bara Naga di pawagam berhampiran dan rasai sendiri kehebatan aksi, visual, dan plot twist yang pasti tidak akan mengecewakan!

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat