Ulasan | Menolak monopoli pelantikan badan kehakiman

Oleh: Jais Abdul Karim

ULASAN | PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengambil maklum ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta pada 8 April 2025, yang menyentuh isu pemisahan kuasa dan kebebasan badan kehakiman termasuk cadangan menyingkirkan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.

MCW menghormati prinsip kebebasan kehakiman, namun memandang serius beberapa isu yang mencetuskan polemik terhadap semangat perlembagaan serta prinsip kebertanggungjawaban awam.

MCW ingin menyatakan pandangan berikut:

    Kedaulatan Perlembagaan dan Sistem Semak dan Imbang

    Malaysia bukan mengamalkan kedaulatan badan kehakiman tetapi kedaulatan Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Artikel 4(1). Artikel 122B dengan jelas memperuntukkan bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim dan Majlis Raja-Raja. Ini adalah sistem ‘check and balance‘ yang tidak boleh diganti hanya dengan tafsiran sebelah pihak.

    Jangan Politikkan Kekecewaan Peribadi

    MCW berpandangan bahawa kenyataan Tun Tengku Maimun baru-baru ini mungkin didorong oleh keputusan kerajaan untuk tidak menyambung kontrak beliau dan menolak calon-calon pilihannya untuk jawatan-jawatan tinggi dalam badan kehakiman. Adalah tidak wajar dan tidak beretika untuk menggunakan pentas antarabangsa bagi membangkitkan rasa tidak puas hati peribadi terhadap keputusan eksekutif yang dibuat secara sah menurut Perlembagaan.

    Pelantikan Beliau Sendiri Juga Pernah Dicabar

    MCW ingin mengingatkan bahawa pelantikan Tun Tengku Maimun sendiri pada 2019 pernah dipersoalkan kerana beliau bukan hakim paling kanan (senior) ketika itu. Oleh itu, adalah ironi apabila isu kekananan dijadikan hujah untuk membantah keputusan semasa. Kita tidak boleh mengubah prinsip ikut selera semasa atau apabila keadaan tidak memihak kepada kita.

    Jawatan Hakim Bukan Hak Mutlak
    Sesuatu pelantikan ke jawatan tinggi dalam badan kehakiman bukanlah satu hak mutlak, tetapi satu amanah. MCW percaya bahawa mana-mana calon yang memiliki integriti, kelayakan dan rekod cemerlang wajar dipertimbangkan dan ini termasuk suara rakyat yang diwakili oleh kerajaan melalui Perdana Menteri.

    Membayangkan bahawa hanya institusi kehakiman yang bebas daripada pengaruh politik juga satu dakwaan berat tanpa bukti, sedangkan badan itu sendiri tidak telus dalam proses penilaian calon.

    Jangan Ulangi Kesilapan 1988 dengan Cara Baharu

    Jika dahulu badan kehakiman menjadi mangsa campur tangan eksekutif, kini MCW bimbang terdapat kecenderungan segelintir elit kehakiman untuk membina pengaruh tersendiri hingga mencabar kuasa sah eksekutif dan memperlekeh institusi seperti Parlimen dan Kabinet. Ini juga satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang perlu ditegur.

    MCW menggesa semua pihak menghormati semangat Perlembagaan dan menolak sebarang cubaan mewujudkan naratif seolah-olah hanya satu pihak yang suci dan kebal daripada kritikan. Kebebasan kehakiman mesti disandarkan kepada integriti, ketelusan dan akauntabiliti, bukan dibentuk atas kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

      Penulis merupakan Presiden MCW

      Anda Mungkin Berminat