PM: Negara ASEAN Sepakat Tangani Isu Tarif

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kesepakatan negara-negara ASEAN untuk menangani isu tarif secara bersama dalam dua mesyuarat penting menteri ASEAN sebelum ini menunjukkan perkembangan yang baik.

“Kita ada dua sesi minggu lalu, pertama menteri-menteri perdagangan dan pelaburan (ASEAN) yang memutuskan bersama masalah tarif dan alhamdullillah nampak konsensus kita tidak setuju dengan tarif dikenakan. Sekarang nampak sudah reda.

“Kita ambil pendekatan bersama. Saya hubungi semua ketua-ketua ASEAN untuk adakan pendekatan bersama. Semalam juga dengan Kementerian Kewangan ASEAN dan semua hadir dan memberi pandangan sama. Ini satu kemajuan yang baik.

“Dengan kehadiran Gabenor Bank Pusat (negara ASEAN) nampak penyusunannya baik,” katanya ditemui media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 6 di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kedua-dua persidangan berkenaan.

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa Presiden China, Xi Jinping akan tiba di Malaysia pada minggu hadapan.

“Minggu depan kita akan sambut Presiden China dan saya harap sambutannya juga meriah,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan ini bukan hanya dinantikan tetapi adalah sebahagian daripada usaha Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mana memperlihatkan hubungan perdagangan lebih baik dengan pelbagai negara termasuk China.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat