Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Negeri kunci keberhasilan dasar – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perpaduan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah kunci utama dalam memastikan setiap dasar dan usaha kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat.

Katanya, kerjasama erat kedua-dua pihak bukan sekadar struktur pentadbiran, sebaliknya menjadi jambatan keyakinan dan ruang perpaduan rakyat.

“Bila kita berpadu, kita mampu menggandakan keberhasilan; bila kita sejiwa, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya dalam satu hantaran sempena Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Pahang.

Dalam hantaran itu, beliau turut menzahirkan iltizam terhadap tadbir urus berteraskan integriti dan ketelusan, sekali gus menjadi asas kepada keberhasilan dasar fiskal yang cermat dan berani meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Anwar berkata hasil pengurusan berhemah itu membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan tunai kepada rakyat serta menaikkan gaji penjawat awam sebagai penghargaan atas sumbangan mereka terhadap kelangsungan negara.

Beliau turut menyifatkan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya lambang kesyukuran, kemaafan dan harapan baru yang wajar diterjemahkan dalam bentuk kasih sayang dan perpaduan.

“Daripada bumi Pahang yang damai ini, saya membawa pulang semangat rakyat untuk saya genggam erat sebagai mercu perjuangan demi Malaysia yang bersatu, bermaruah dan berjiwa MADANI,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat