‘Rakyat Malaysia tiada masalah duduk semeja’ – Anwar

BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni orang ramai pada sambutan Aidilfitri MADANI 2025 yang ketiga iaitu di Pulau Pinang, selepas menghadiri sambutan di Pahang dan Kelantan.

Majlis itu menyaksikan rakyat berbilang kaum bersatu dalam suasana harmoni, penuh kasih sayang dan saling menghormati.

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya perpaduan rakyat Malaysia yang menolak sentimen kebencian dan hasutan permusuhan.

“Hakikatnya, orang Melayu, Cina, India, Orang Asli tiada masalah untuk duduk semeja tanpa iri hati atau curiga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyentuh isu perdagangan dunia, khususnya pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memberi kesan kepada sektor semikonduktor negara.

“Namun kita punya pilihan, sama ada mengalah atau mencari jalan keluar daripada situasi ini,” ujar beliau, sambil menyeru kerjasama erat dengan AS, China, Eropah dan ASEAN.

Anwar berharap Aidilfitri kali ini menjadi peluang untuk memperkukuh perpaduan dan memperbaiki diri selaras dengan seruan islah.

Anda Mungkin Berminat