Pemuda AMANAH Perak lapor polis, calon PN didakwa tipu tauliah mengajar agama

TAPAH: Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Munzirie Kabir telah membuat laporan polis terhadap calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N48 Ayer Kuning.

Laporan itu mendakwa calon tersebut menipu dalam permohonan tauliah mengajar agama.

Menurut Munzirie, calon berkenaan didakwa memperoleh tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Perak walaupun tidak layak kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding dalam pilihan raya.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran peraturan yang serius dan satu pengingkaran terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Ketua Agama Islam Negeri.

“Ini bukan isu remeh. Ini isu maruah institusi agama, integriti pentadbiran negeri dan kedaulatan Raja Berperlembagaan,” tegasnya dalam satu kenyataan media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Beliau turut mendakwa calon tersebut memanipulasi proses tauliah yang dianggap sebagai penderhakaan terhadap titah Sultan Perak.

Lebih membimbangkan, katanya, tindakan itu dikatakan melibatkan unsur pemalsuan dokumen rasmi yang merupakan satu kesalahan jenayah serius.

Sehubungan dengan itu, Munzirie menggesa siasatan menyeluruh dan tanpa kompromi bagi memastikan undang-undang serta titah Raja Pemerintah dijunjung.

“Rakyat Perak berhak mengetahui kebenaran. Kita semua wajib menolak mana-mana individu yang memperalatkan agama untuk meraih kuasa dan sanggup menipu demi kepentingan diri,” katanya lagi.

Setakat ini, tiada maklum balas diterima daripada pihak calon PN mahupun Jabatan Mufti Negeri Perak berkenaan isu ini.

Anda Mungkin Berminat