‘Selamat jalan, Pak Lah’ – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mesra dikenali sebagai Pak Lah sebagai seorang negarawan ulung yang sentiasa memilih damai meskipun diasak bertubi-tubi.

Menurut Anwar, negara begitu terhutang budi kepada segala jasa dan budi yang telah ditaburkan oleh allahyarham.

“Beliau (Pak Lah) memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan semoga roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayatnya.

“Kepada keluarga Tun Jeanne Abdullah, anakanda Khairy Jamaluddin dan seluruh keluarga besar, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati.

“Selamat jalan, Pak Lah,” ujarnya.

Tambah Anwar, allahyarham akan dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa besar yang membawa pendekatan Islam Hadhari, yakni menjembatani kemajuan dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Di bawah kepemimpinannya, Malaysia menyaksikan reformasi dalam bidang kehakiman, ketelusan pentadbiran dan pemerkasaan institusi.

Beliau juga dikenali kerana membuka ruang media dan penyertaan awam serta memacu pembangunan ekonomi melalui Rancangan Malaysia Kesembilan.

Terdahulu, berita duka menyelubungi Malaysia apabila mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada pukul 7.10 malam, seperti yang disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin.

Anda Mungkin Berminat