SEPANG: Presiden China Xi Jinping tiba di Malaysia untuk lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhir beliau pada 2013.
Pesawat khas yang membawa Xi mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada pukul 6.30 petang.
Ketibaan beliau disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Xi juga memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai oleh Leftenan Mohamad Nafis Norshid.
Ketibaan Xi turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang menggabungkan irama gendang tradisional Melayu, Cina dan India oleh Akademi Arjunasukma.
Kumpulan pancaragam dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang turut mempersembahkan lagu “Lenggang Kangkung.”
Wisma Putra memaklumkan, sepanjang lawatan ini, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.
Sultan Ibrahim juga berkenan meraikan Xi dan delegasinya dalam majlis santapan negara.
Xi dijadualkan bertemu Anwar untuk membincangkan kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan negara pertama Xi pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.
Kali terakhir Xi melawat Malaysia pada 2013, kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 dan tahun lalu meraikan ulang tahun ke-50 hubungan tersebut.
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009.