Pak Lah cetus legasi Islam Hadhari dan J-QAF – ABIM

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima yang telah kembali ke rahmatullah di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin mengenang allahyarham sebagai pemimpin yang mencetuskan pendekatan Islam Hadhari yang menekankan prinsip kesederhanaan atau ‘Wasatiyyah’.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja memperluaskan ruang kebebasan politik dan institusi tetapi juga menjadi asas kepada pembangunan negara sepanjang pentadbirannya dari 2003 hingga 2009.

Tun Abdullah, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah turut dikenang atas legasi besar dalam memartabatkan pendidikan Islam melalui pelaksanaan program Jawi, Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

“Pelaksanaan program J-QAF yang menekankan penguasaan tulisan Jawi, hafazan dan pemahaman al-Quran, pengukuhan Bahasa Arab serta penghayatan Fardhu Ain dalam kehidupan seharian.

“Usaha ini telah menyemai asas pendidikan Islam yang lebih holistik dan bersepadu dalam sistem pendidikan negara,” kata ABIM.

ABIM turut menegaskan bahawa usaha allahyarham dalam mempromosikan nilai integriti, pembangunan insan dan pemerkasaan pendidikan Islam telah memberikan impak besar dalam landskap politik, sosial dan pendidikan negara.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin,” ujar ABIM.

Anda Mungkin Berminat