KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memuji kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyandang jawatan Perdana Menteri Ke-5 negara walapun berdepan cabaran politik.
Dr Mahathir hadir memberi penghormatan terakhir kepada Abdullah yang juga dikenali sebagai Pak Lah di Masjid Negara di sini, pagi ini kira-kira 11 pagi, ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dan anak mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit di masjid itu.
Bercakap kepada wartawan selepas itu, Dr Mahathir mengimbas kembali hubungannya yang lama terjalin dengan Abdullah.
“Saya sudah mengenalinya jauh sebelum saya menjadi perdana menteri,” katanya.
“Kali pertama saya bertemu dengannya di sebuah pasar raya pada 1968. Kami sudah lama saling mengenali,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Dr Mahathir turut mengenang detik peralihan kuasa antara mereka.
“Ketika saya memilih untuk bersara, beliau adalah timbalan saya, bermakna beliaulah yang akan mengambil alih (kedudukan perdana menteri). Memang, apabila saya meletak jawatan, Abdullah menggantikan saya sebagai perdana menteri.
“Di bawah kepimpinannya, gabungan pemerintah mencatat kemenangan pilihan raya paling besar dalam sejarah negara semasa Pilihan Raya Umum 2004, memenangi 90 peratus kerusi. Ia satu pencapaian luar biasa,” katanya.
Namun, Dr Mahathir mengakui bahawa Abdullah kemudiannya berdepan cabaran politik.
“Pilihan Raya Umum 2008 tidak begitu memberangsangkan. Dengan desakan supaya beliau berundur, beliau melakukannya tanpa berlengah dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib (Razak),” katanya.
Menyorot tradisi peralihan kuasa secara aman di Malaysia, Dr Mahathir berkata, “Beginilah cara kita di Malaysia. Apabila kita bersara, kita berundur dengan baik dan menyerahkan tanggungjawab kepada pengganti.
“Jika tradisi ini diteruskan, insya-Allah, Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara yang diberkati. Abdullah memberikan contoh yang baik untuk kita semua.
“Saya ucapkan simpati yang mendalam kepada keluarganya. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.
Allahyarham Pak Lah, yang berusia 85 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Abdullah, yang menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada 31 Oktober 2003, menerajui tampuk kepimpinan negara sehingga 2 April 2009.
Allahyarham adalah Presiden Ke-6 Umno dan dikurniakan gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin, atas jasa beliau kepada negara.
Abdullah meninggalkan balu, Tun Jeanne Abdullah, dan dua anak — Kamaluddin dan Nori.
Baca juga: