Oleh: Ayman Rashdan Wong
DALAM kalangan ramai-ramai Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menteri (PM) yang aku paling dapat hubung kait.
Selain merupakan seorang bekas PTD (pegawai tadbir diplomatik), beliau juga adalah PM ketika aku mula berjinak-jinak membaca berita dunia, mengikuti perkembangan geopolitik global.
Zaman beliau menjadi PM (2003–2009) adalah tempoh yang kritikal dalam geopolitik dunia.
China masih belum menjadi kuasa dunia. Putin baru sahaja mula mengukuhkan cengkamannya di Rusia. BRICS baru wujud tahun 2006.
AS (Amerika Syarikat) pula berada di kemuncak kuasa hegemoni di bawah Presiden George W. Bush, menyerang Iraq tanpa mampu dihalang sesiapa pun.
Namun, tanda-tanda kemerosotan hegemoni AS juga sudah mula kelihatan. Terlalu banyak campur tangan ketenteraan menyebabkan keletihan strategik.
Dalam masa yang sama, China dan Rusia mula membina kekuatan ekonomi masing-masing, bersedia untuk mencabar status quo.
Di tengah-tengah era peralihan ini, Malaysia bertuah mempunyai seorang pemimpin seperti Tun Abdullah.
Seorang yang tenang, berhemah, dan membawa pendekatan diplomasi yang sederhana tapi bijaksana.
Pengalaman beliau sebagai Menteri Luar (satu-satunya PM selain Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak yang pernah memegang portfolio ini) menjadikan dasar luar Malaysia stabil dan inovatif.
Salah satu langkah paling genius dalam era beliau ialah penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS) yang pertama, ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2005.
EAS menghimpunkan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan, tiga kuasa besar Asia Timur yang sering bertelagah, tapi berjaya duduk semeja melalui EAS.
EAS kemudian dikembangkan untuk melibatkan Australia, New Zealand dan India, menjadi asas kepada kerjasama ekonomi RCEP (Regional Comprehensive Economic Partnership) yang kini menjadi blok perdagangan terbesar dunia.

Dengan EAS, ASEAN bukan lagi sekadar blok Asia Tenggara. ASEAN mula membawa makna Asia Timur, Asia Pasifik, dan Indo-Pasifik.
Sampai AS pun kena mengambil tahu pasal ASEAN, walaupun dalam kabinet Trump hari ini ada menteri yang tak kenal ASEAN.
Setiap kali Malaysia menjadi pengerusi ASEAN (2005, 2015, 2025), Kuala Lumpur pasti menjadi tumpuan dunia.
Ada satu detik penting semasa EAS pertama yang sangat simbolik dan memperlihatkan kebijaksanaan diplomasi Tun Abdullah.
Ketika itu, hubungan antara China dan Jepun sangat tegang akibat isu sejarah Perang Dunia Kedua.
Jepun dikatakan tak mengakui jenayah perangnya, yang mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat China.
Demonstrasi besar-besaran tercetus. Produk Jepun diboikot dan dibakar di China.
Dalam keadaan tegang ini, kedua-dua PM Junichiro Koizumi dari Jepun dan Wen Jiabao dari China hadir ke EAS pertama di Kuala Lumpur.
Aku tak pasti sama ada ia disengajakan atau memang mengikut protokol, tapi Koizumi dan Wen telah ditempatkan duduk bersebelahan, sedangkan mereka tak mampu “see eye to eye”.
Secara “kebetulan” (yang ni pun aku tak pasti sengaja atau tak), pen Koizumi yang diletakkan di atas meja tak ada dakwat, pada saat semua pemimpin EAS kena menandatangani dokumen yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur.
Maka, Koizumi meminjam pen daripada Wen.
Wen kelihatan sedikit kekok, nak hulurkan atau tak?
Namun, Tun Abdullah yang berada di sebelah Wen dikatakan memujuknya untuk meminjamkan pen tersebut kepada Koizumi.
Akhirnya, Wen menghulurkan pen itu. Koizumi menerimanya.
Hanya dengan satu tindakan kecil, Malaysia berjaya meredakan ketegangan antara dua kuasa besar Asia Timur.
Itulah seni diplomasi Malaysia, diplomasi yang halus tapi penuh makna.
Tak perlu slogan yang gempak, imej yang grand, hanya bertindak sebagai “honest broker” yang membina jambatan antara kuasa yang saling bertelagah.
Dan Tun Abdullah adalah salah seorang tokoh terulung dalam seni itu yang semakin dilupakan hari ini.
Innalillahi wa inna ilayhi raji’un.
Jasamu dikenang, Tun. Semoga damai abadi bersamamu.
***Penulis adalah penganalisis geopolitik antarabangsa dan giat menulis buku mengenai sosiopolitik dunia
Baca juga: