Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan rawatan tradisional yang menyebabkannya kerugian sehingga RM445,000.
Sindiket itu mendakwa mampu mengubati penyakit yang disebabkan oleh gangguan makhluk halus.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib dalam satu kenyataan, hari ini memgesahkan laporan berhubung kes ini telah diterima.
“Warga tempatan lelaki berbangsa Melayu berumur 70 tahun berkaitan tawaran tradisional melibatkan keluarganya yang dikatakan diganggu oleh makhluk halus.
“Dalam kes ini, mangsa ditawarkan untuk mendapatkan khidmat rawatan tradisional dan telah menyerahkan sejumlah wang tunai dan barangan kemas kepada suspek dengan anggaran kerugian sejumlah RM445,000,” katanya.
Tambah Roslan, mangsa mempercayai keaslian perkhidmatan itu kerana suspek adalah kenalan rapatnya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di mana jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebatan dan dikenakan denda.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak polis menyeru orang ramai agar lebih berwaspada terhadap tawaran perkhidmatan seperti ini dan melakukan semakan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang bayaran.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan ‘scam’ melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti di Facebook, Instagram dan TikTok.
“Sekiranya seorang telah menjadi mangsa ‘scam’, sila hubungi Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” tegas beliau.