Agong yakin Malaysia-China terus perkasa kerjasama dua hala

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa hubungan strategik antara Malaysia dan China akan terus diperkukuh, meskipun dunia kini berdepan cabaran geopolitik yang pelbagai.

Dalam titah Seri Paduka Baginda ketika menerima kunjungan rasmi Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping di Istana Negara hari ini, baginda menegaskan komitmen Malaysia terhadap integrasi ekonomi lebih mendalam serta pengukuhan kerjasama dalam rantaian bekalan dan sektor perindustrian.

“Malaysia menitikberatkan peningkatan ketersambungan dan menjunjung prinsip hormat serta manfaat bersama dalam kerjasama dengan semua rakan kongsi, termasuk China,” titah Baginda dalam hantaran di Facebook rasmi pada Rabu.

Sultan Ibrahim turut menyentuh mengenai potensi pelaburan besar oleh syarikat dan pelabur China di Malaysia, khususnya melalui kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang dipelopori China.

“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara destinasi pelaburan utama di rantau ini,” ujar Baginda.

Dalam usaha memperkukuh hubungan budaya dan pendidikan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran bahasa antara kedua-dua negara.

“Pertukaran pelajar antara negara kita semakin meningkat. Malaysia berhasrat menghantar lebih ramai pelajar ke China bukan sahaja untuk menimba ilmu, tetapi juga untuk memperkasa pemahaman budaya,” titah Baginda lagi.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menyatakan hasrat untuk mempergiat promosi Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU), sebagai jambatan bahasa dan budaya antara kedua-dua negara.

Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda berkenan menyambut ketibaan Jinping pada jam 10.30 pagi.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Lawatan oleh Jinping adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat