AMANAH: Penggantungan Razman isyarat tolak politik kebencian

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menyifatkan penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria selama enam bulan daripada menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, menggambarkan rakyat negeri itu menolak budaya politik kebencian.

Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara (AMANAH) Perak, Dr Ahmad Termizi Ramli berkata, pihaknya yakin rakyat kini lebih matang untuk menilai antara pemimpin yang benar-benar membawa nilai murni dan mereka yang sekadar mempergunakan agama demi agenda politik sempit.

“Kami menyambut baik keputusan tersebut yang mana ia mengangkat martabat rakyat yang mahukan politik berakhlak dan berasaskan fakta, bukan fitnah dan emosi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, walaupun Razman sering menampilkan imej sebagai tokoh agama, kenyataan serta tindak-tanduk beliau telah mencemarkan nama baik Islam.

“Agama tidak pernah mengajar kebencian, perpecahan atau penipuan, sebaliknya mengangkat nilai amanah, adab dan kebenaran,” tambahnya.

AMANAH Perak turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat semakin bijak dalam menilai pemimpin yang membawa nilai murni berbanding mereka yang menggunakan agama sebagai alat politik.

Mengulas suasana semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning, Dr Ahmad Termizi berkata insiden tersebut wajar menjadi pengajaran kepada semua calon dan parti.

“Cukuplah dengan politik lama yang memecah belah. Marilah kita bina semula keyakinan rakyat dengan politik bersih dan matang,” katanya lagi.

Dalam laporan media sebelum ini, Razman ketika Persidangan DUN Perak pada Disember tahun lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat