PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba menerusi panggilan telefon bagi membincangkan pelbagai isu penting berkaitan hubungan dua hala serta perkembangan ekonomi global.
Anwar berkata, antara topik utama yang dibincangkan ialah isu tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat dan impaknya terhadap ekonomi dunia.
“Malaysia telah mengadakan rundingan bersama pimpinan ASEAN dan menyatakan kesepakatan serta komitmen bersama untuk meneruskan perbincangan dengan Amerika Syarikat bagi mencari penyelesaian yang seimbang,” katanya dalam perbualan telefon itu yang dikongsikan menerusi hantaran Facebook pada Rabu.
Selain itu, kata beliau, Malaysia turut menghargai minat Jepun untuk menyertai pembangunan ASEAN Power Grid, satu inisiatif penting dalam meningkatkan keterhubungan dan kecekapan tenaga di rantau Asia Tenggara.
“Ruangan sama turut kami sentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Anwar mengadakan perbincangan bersama Shigeru menerusi perbualan telefon sebaik sahaja tamat istiadat Sambutan Negara untuk menyambut kedatangan Presiden China, Xi Jinping.
Menerusi perbualan itu, beliau juga menyentuh mengenai bencana gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini, yang turut meragut nyawa rakyat Jepun.
“Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada Jepun atas kehilangan tersebut dan menghargai usaha Jepun yang turut menyalurkan bantuan bagi usaha pembangunan semula Myanmar,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Jepun akan terus diperkukuh berasaskan rasa hormat, kepercayaan dan komitmen jangka panjang dalam pelbagai bidang strategik termasuk ekonomi, tenaga dan kemanusiaan.
Baca juga: