KUANTAN: Sebagai tanda penghormatan atas pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia, allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar bendera Negeri Pahang dikibarkan separuh tiang pada 16 April 2025.
Arahan itu diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar dalam satu kenyataan.
“Menjunjung titah perintah Sultan Pahang, adalah dimaklumkan bahawa bendera negeri Pahang hendaklah dikibarkan separuh tiang pada 16 April (Rabu) bagi menzahirkan penghormatan atas kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdullah pada 14 April,” katanya.
Tun Abdullah, yang juga dikenali sebagai Pak Lah, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin.
Jenazah allahyarham telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.