PETALING JAYA: Hari ini, jalan raya di Malaysia menjadi topik hangat apabila sebilangan jalan ditutup sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping.
Ramai rakyat mengeluh, menyatakan ketidakselesaan akibat kesesakan lalu lintas yang melampau.
Namun, di sebalik kekecohan ini, lawatan tersebut membawa impak besar kepada negara daripada segi ekonomi, diplomasi dan keselamatan.
Muhammad Azmi Jamaludin, seorang pengguna Facebook berkongsi pandangan tentang kepentingan lawatan itu.
Dia berkata, lawatan pemimpin negara besar seperti China bukan sekadar rutin diplomatik atau gimik politik.
Katanya, ia adalah peluang strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama lebih 15 tahun.
“Presiden China adalah sasaran berisiko tinggi bagi pengganas, perisik dan pembunuh upahan.
“Oleh itu, kawalan keselamatan maksimum diperlukan termasuk perancangan berbulan-bulan oleh pasukan perisikan, penggunaan teknologi seperti drone dan helikopter serta kereta kalis peluru,” katanya.
Menurut Azmi, keselamatan lalu lintas juga menjadi keutamaan untuk memastikan kelancaran lawatan.
Dia turut berkata bahawa insiden keselamatan semasa lawatan boleh mencemarkan imej negara dan merosakkan hubungan diplomatik.
“Contoh jelas adalah kes Kim Jong-nam, yang menyebabkan hubungan Malaysia dengan Korea Utara terputus,” ujarnya.
Tambahan, dengan nilai dagangan dua hala melebihi RM850 bilion, China adalah rakan dagang utama Malaysia.
Dia berkata, eksport seperti semikonduktor, minyak sawit dan hasil pertanian menjadi tulang belakang hubungan ekonomi ini.
Tambah Azmi, lawatan rasmi ini membuka peluang untuk membincangkan pelaburan baru, projek infrastruktur dan kerjasama teknologi.
Katanya lagi, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam rundingan diplomatik dengan China.
“Lawatan ini bukan sekadar drama politik tetapi usaha diplomasi yang memberi kesan kepada seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Oleh itu, Azmi mengajak rakyat Malaysia untuk melihat ‘bigger picture’ dan memahami kepentingan jangka panjang lawatan seperti ini.
Katanya, walaupun kesesakan lalu lintas menyusahkan, manfaat ekonomi dan reputasi antarabangsa yang diperoleh jauh lebih besar.
“Kita sangkut dalam jem dua jam, tapi kalau lawatan macam ini tak berjalan lancar negara kita boleh sangkut bertahun-tahun dari segi ekonomi dan reputasi antarabangsa,” katanya.