Drama ‘Bidaah’ dikritik, seni dakwah perlu berintegriti

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyuarakan kebimbangannya terhadap drama dakwah Bidaah yang menurutnya, kurang berhati-hati dalam membincangkan isu ajaran sesat.

Menurut beliau, karya seni berbentuk dakwah tidak sepatutnya dibingkai secara sensasi demi populariti semata-mata.

“Tajuk ‘Bidaah’ yang digunakan dalam drama ini adalah tidak tepat, kerana ia tidak menggambarkan apa yang ingin dibawa dalam cerita itu.

“Drama ini lebih banyak mengupas tentang kesesatan akidah dan wahyu palsu,” katanya menerusi laman web rasmi Al Inarah.

Beliau menjelaskan bahawa istilah bidaah membawa maksud yang lebih kompleks dalam ajaran Islam.

“Bidaah itu sendiri adalah topik yang lebih mendalam dan memerlukan pemahaman yang lebih teliti,” tegasnya.

Dalam ulasan yang lebih terperinci, Dr Zulkifli turut menegur salah tafsir terhadap ajaran Islam, seperti babak dalam drama tersebut yang menyatakan bahawa taat kepada suami adalah syarat utama untuk masuk syurga.

“Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran yang menyebut bahawa taat kepada suami adalah syarat utama untuk masuk syurga.

“Apa yang benar adalah, hadis Nabi SAW menyatakan bahawa taat kepada suami adalah salah satu cara untuk memperoleh keredhaan Allah, namun ia tidaklah setara dengan ayat al-Quran,” jelasnya lagi.

Dr Zulkifli juga mengkritik kehadiran adegan seperti pelukan, ciuman dan sentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi dalam drama tersebut.

“Kreativiti dalam berkarya memang penting tetapi batasan syariat juga harus dijaga.

“Babak-babak seperti ini perlu dielakkan untuk menjaga maruah dan nilai akhlak,” katanya.

Beliau menekankan bahawa seni Islam harus berpaksikan etika dan prinsip agama untuk memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Seni yang berteraskan akhlak dan ilmu yang betul akan menghasilkan kesan yang lebih mendalam dalam hati masyarakat,” katanya penuh harapan.

Walaupun begitu, dalam satu hantaran di Facebooknya terdahulu, Dr Zulkifli tetap menghargai usaha pengarah, Pali Yahya dan penerbit, Erma Fatima.

Beliau mengucapkan tahniah kepada mereka serta menghormati usaha gigih yang diperlukan dalam penghasilan drama dan filem.

Anda Mungkin Berminat