DUN Selangor dijangka akan bahas insiden Putra Heights

PETALING JAYA: Insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu terus menjadi perhatian apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka membahaskannya dalam persidangan akan datang.

Kebakaran yang mengakibatkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius telah menjejaskan sebanyak 219 rumah di kawasan berhampiran, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur industri di negeri ini.

Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, perbahasan itu akan memberi fokus kepada aspek keselamatan zon penampan termasuk jarak selamat pembangunan infrastruktur di kawasan berisiko tinggi.

“Kerajaan tidak akan membuat rumusan awal berhubung insiden itu kerana ia masih dalam siasatan yang kita yakin, pihak eksekutif akan menyelesaikan segera urusan berkenaan.

“Dalam masa yang sama, pihak legislatif akan membincangkan isu berkenaan di dalam Sidang DUN Julai nanti,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, pada Selasa.

Tambah Lau, perbahasan itu penting untuk membuka ruang kepada Kerajaan Negeri dalam menggubal dasar baharu bagi memperkukuh aspek keselamatan infrastruktur industri.

“Kita harap dapat perbahasan yang baik daripada semua Ahli Dewan khususnya berhubung langkah menetapkan laluan serta kawasan penampan lebih selamat dalam konteks infrastruktur industri,” tambahnya.

Setakat ini, siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan dan kerajaan negeri berjanji untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.

Anda Mungkin Berminat