PADANG BESAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini mengesahkan berlakunya gangguan bekalan air di Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA), Kampus Sungai Chuchuh, akibat kebocoran saluran utama paip berhamparan.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UniMAP, kebocoran tersebut menyebabkan tekanan air menjadi terlalu rendah di kawasan perumahan berkenaan, menjejaskan kehidupan harian khususnya dalam kalangan pelajar.
Susulan itu, bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara, pihak universiti telah mengambil beberapa langkah proaktif termasuk memberi kebenaran pelaksanaan kuliah bagi pelajar Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) secara dalam talian sehingga dimaklumkan kelak.
“Selain itu, menyediakan penghantaran lori bekalan air serta tangki air di setiap blok, menyampai dan mengemaskini maklumat melalui aplikasi Telegram dan Whatsapp.
“Memanjangkan waktu operasi Pusat Kesihatan UniMAP dan menyediakan pengangkutan ke masjid dan rumah ibadah berdekatan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Pihak pengurusan universiti turut menegaskan komitmen mereka dalam memastikan aspek pembelajaran pelajar tidak terjejas.
Katanya, usaha sedang dijalankan secara berterusan untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Untuk sebarang maklumat lanjut, pelajar dan warga kampus disarankan merujuk saluran komunikasi rasmi universiti.
Terdahulu, tular di media sosial para pelajar di kompleks tersebut berdepan tekanan akibat masalah gangguan bekalan air yang telah berlarutan untuk tempoh masa yang lama.
Menurut video yang dikongsi pelajar terlibat di TikTok, bekalan air dihantar selepas seminggu kediaman mereka mengalami gangguan tersebut.
“Lepas seminggu duduk UNICITI tak ada air, baru hari ini lori air sampai. Lepas itu, air yang dibekalkan tidak bersih. Kalau ada gambar air itu dalam telefon, dah lama saya masukkan,” tulis individu dikenali Ann.
Dia juga mendesak agar pihak atasan membenarkan pelajar-pelajar terlibat untuk pulang ke rumah masing-masing dan melaksanakan kuliah dalam talian sehingga masalah selesai.
Baca juga: