KUANTAN: Kisah menyayat hati seorang ibu tunggal yang gigih membesarkan enam orang anak dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,300 telah menarik perhatian Setiausaha Politik, Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi.
Menetap di Kampung Alor Batu Jabor, Kuantan, Puan Norain yang merupakan ibu kepada enam orang anak berusia antara 3 bulan hingga 14 tahun.
Dengan bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Zakat Pahang, beliau mengurus kehidupan harian keluarganya dalam serba kekurangan.
Lebih mengharukan, Puan Norain turut berdepan dengan masalah kemurungan namun tetap cekal menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal tanpa mengenal erti putus asa.
Dalam satu catatan di Facebook, Farhan yang prihatin dengan keadaan tersebut, mewakili Perdana Menteri hadir ke kediaman Puan Norain di kawasan Parlimen Indera Mahkota.
Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
“Semangat Puan Norain amat luar biasa. Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, beliau tetap tabah dan terus berusaha membesarkan anak-anaknya. Ini adalah contoh kekuatan seorang ibu yang wajar kita contohi,” ujar Farhan.
Menurutnya lagi, Pejabat Parlimen Indera Mahkota akan terus memantau keadaan Puan Norain dan bersedia untuk menyalurkan sebarang bantuan tambahan sekiranya diperlukan.
Beliau turut menitipkan doa agar Puan Norain dan keluarga dikurniakan kesihatan yang baik serta semangat yang berterusan dalam menempuh cabaran kehidupan.
Baca juga: