Isu Bendera: Inilah Sebab Malaysia Perlu Majlis Media – GERAMM

KUALA LUMPUR: Kontroversi kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang tidak tepat di muka hadapan Sin Chew Daily baru-baru ini jelas memperlihatkan keperluan mendesak untuk menubuhkan sebuah Majlis Media Malaysia yang bebas dan berfungsi, kata Gerakan Media Merdeka (GERAMM).

Dalam satu kenyataan hari ini, GERAMM menjelaskan meskipun permohonan maaf telah dibuat oleh pihak Sin Chew, insiden itu seharusnya ditangani melalui saluran yang profesional dan bebas, bukannya dengan seruan boikot, gangguan terhadap petugas media, atau penggunaan undang-undang yang ketinggalan zaman seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

“Kes seperti ini membuktikan betapa pentingnya kita mempunyai satu badan pemantau media yang bebas daripada campur tangan politik, yang boleh menilai aduan masyarakat secara adil dan bertanggungjawab,” kata GERAMM dalam kenyataan itu.

GERAMM menyatakan bahawa media memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kepercayaan awam dan menghormati simbol negara, namun juga berhak diberi ruang untuk memperbaiki kesilapan secara profesional tanpa diancam dengan tindakan melampau.

“Apa yang diperlukan bukan hanya permohonan maaf, tetapi juga akauntabiliti dalaman, semakan editorial yang ketat dan komitmen untuk mencegah kesilapan serupa pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.

Kesilapan editorial tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum media secara terbuka.

GERAMM memberi amaran bahawa reaksi seperti itu hanya akan mengancam kebebasan media dan menyuburkan budaya takut dalam kalangan wartawan dan organisasi berita.

GERAMM menyeru agar perbincangan berkenaan isu ini dilakukan secara matang dan bukan dengan retorik yang mencetuskan kebencian atau ancaman keselamatan terhadap pengamal media.

“Media bebas bukan bermaksud media tanpa batas tetapi kebebasan itu mesti datang bersama tanggungjawab dan ruang untuk disemak oleh sebuah majlis media yang profesional, bebas dan diyakini rakyat,” tegas GERAMM.

Menurut GERAMM lagi, situasi ini harus menjadi titik tolak kepada usaha mempercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia yang telah lama dicadangkan tetapi masih belum direalisasikan.

Untuk rekod, kerajaan telah meluluskan undang-undang mengenai majlis itu tahun ini, dengan badan itu akan dibentuk pada Jun.

Anda Mungkin Berminat