WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, buat pertama kali tampil melontarkan kritikan terbuka terhadap pentadbiran penggantinya, Donald Trump.
Dalam ucapan di Persidangan Kebangsaan Persatuan Peguam, Kaunselor dan Wakil bagi Golongan Kurang Upaya (ACRD) di Chicago, Biden menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap langkah-langkah yang diambil oleh pentadbiran Trump, yang didakwanya telah membawa kesan buruk dalam tempoh kurang daripada 100 hari.
“Tengok apa ysang sedang berlaku sekarang.
“Tidak sampai pun 100 hari berlalu, pentadbiran baharu ini telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan yang begitu besar,,” katanya memetik laporan CNN.
Biden menyifatkan perubahan drastik yang dilakukan oleh Pentadbiran Keselamatan Sosial di bawah Trump sebagai punca utama kerosakan.
Beliau mendakwa bahawa penstrukturan semula besar-besaran yang diterajui oleh Jabatan Kecekapan Kerajaan, di bawah pimpinan jutawan teknologi Elon Musk, telah mengakibatkan lebih 7,000 pekerja kehilangan pekerjaan.
Biden turut menekankan bahawa pendekatan ini telah melemahkan sistem perkhidmatan awam termasuk gangguan pada laman web Pentadbiran Keselamatan Sosial yang menyukarkan rakyat untuk mengakses akaun mereka.
Dalam ucapannya, Biden memberi amaran bahawa AS kini berada pada tahap perpecahan yang paling serius dalam sejarah moden.
Beliau menyeru rakyat untuk kembali bersatu dan mengatasi perpecahan yang semakin mendalam.
“Kita tidak boleh terus begini, sebagai sebuah negara yang terbahagi seperti sekarang.
“Saya sudah lama dalam bidang ini dan tidak pernah melihat perpecahan seteruk ini,” katanya.
Biden juga menekankan pentingnya mempertahankan program Keselamatan Sosial, yang beliau sifatkan sebagai ‘janji suci’ kepada rakyat Amerika.
Beliau mengingatkan bahawa jutaan rakyat telah menyumbang kepada program ini dengan harapan bantuan yang dijanjikan akan diberikan apabila mereka memerlukannya.
“Kita tidak boleh dan tidak akan mengkhianati kepercayaan itu atau berpaling daripada tanggungjawab ini,” tegasnya.