KDN Panggil Sin Chew Daily, Siasatan Bermula

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil pihak Sin Chew Daily kerana menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit di muka hadapan akhbarnya bertarikh 15 April lalu.

Dalam satu kenyataan rasmi, KDN memaklumkan bahawa tindakan siasatan telah dimulakan serta-merta, berpandukan dua perundangan utama iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

“KDN telah memanggil pihak Sin Chew Daily hari ini bagi tujuan siasatan dan satu Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan.

“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.

“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN dalam kenyataan pada Rabu.

Tegas KDN lagi, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang lalai atau cuai sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Jelas KDN, Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sebalikya menjadi lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional yang wajib dihormati serta dimartabatkan.

“Pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit diletakkan bersebelahan bendera China hingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat tempatan.

Baca juga;

Anda Mungkin Berminat