Lebuhraya Bandar Cassia Dinamakan Semula Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini sebulat suara bersetuju menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia sebagai penghormatan kepada bekas Perdana Menteri Kelima Malaysia itu yang meninggal dunia pada 14 April lalu.

“Langkah ini adalah signifikan dalam menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, terutamanya dalam membangunkan negeri Pulau Pinang sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009.

“Sebagai anak jati Pulau Pinang kelahiran Bayan Lepas, Allahyarham disifatkan sebagai tokoh yang membawa banyak perubahan kepada negeri ini.

“Antara legasi terbesar beliau ialah pengumuman projek Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan pada tahun 2003, yang kini menjadi pemangkin pertumbuhan pesat antara Batu Maung dan Batu Kawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Kon Yeow, Allahyarham juga telah menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004 dan memainkan peranan penting dalam membentuk pelan pembangunan kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai bandar masa depan Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, pentadbiran Tun Abdullah turut membawa pembangunan besar seperti pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM1 bilion), pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

“Sebagai penghormatan terakhir, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang pada Jumaat, 18 April di semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Premis bukan kerajaan juga diseru untuk turut sama melaksanakannya,” ujar Kon Yeow.

Pemergian Allahyarham Tun Abdullah pada usia 85 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khasnya rakyat Pulau Pinang yang sentiasa mengingati beliau sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan dan tokoh berjiwa rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat