PUTRAJAYA: Malaysia dan China memeterai sebanyak 31 Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi pelbagai bidang strategik seperti keselamatan, pembangunan, perdagangan, pengangkutan, pertanian, pendidikan dan teknologi digital.
Majlis pertukaran dokumen berlangsung di Kompleks Seri Perdana dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping sempena lawatan kenegaraan tiga hari Presiden China ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Di bawah Kementerian Luar, tiga dokumen penting telah ditandatangani antara Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar China, Wang Yi.
Ia melibatkan kerjasama dalam mempromosi Inisiatif Keselamatan Global (Global Security Initiative), Inisiatif Peradaban Global (Global Civilisation Initiative), serta pembangunan dan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (Global Development Initiative).
Dalam isu konservasi panda gergasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar menandatangani MoU Perjanjian Penyelidikan Kerjasama mengenai Pemuliharaan Antarabangsa Panda Gergasi.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menandatangani tiga MoU, termasuk MoU Kerjasama Pelancongan dan Media antara Agensi Berita Xinhua China dan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menandatangani MoU dengan Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) bagi memperkukuh kerjasama pembangunan dan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI).
Satu lagi perjanjian penting ialah pengecualian visa timbal balik untuk pemegang pasport biasa dan pasport urusan rasmi yang dimeterai antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Wang Yi.
Dalam bidang perdagangan, tiga MoU telah ditandatangani meliputi perdagangan dalam perkhidmatan, standardisasi kerjasama serta penambahbaikan inisiatif ‘Dua Negara, Dua Taman’ Malaysia-China.
Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao.
Kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian memperkukuh kerjasama dalam sektor rel, melalui Kementerian Pengangkutan yang diwakili oleh Menteri Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Dalam sektor digital, dua MoU antara Kementerian Digital dan Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Kebangsaan China (NDRC) dimeterai, melibatkan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan dan ekonomi digital.
Kementerian Pendidikan turut menandatangani MoU dengan Presiden dan Ketua Pengarang Kumpulan Media China (CMG), Shen Hai Xiong, khusus dalam bidang terjemahan dan penerbitan karya klasik.
Beberapa MoU turut dimeterai antara kumpulan media dan universiti termasuk MoU Kerjasama Dua Hala antara China dan Star Media Group Bhd.
MoU lain turut melibatkan kerjasama dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan, sains dan teknologi, pendidikan tinggi serta pelancongan, seni dan budaya.
Baca juga: