Memulakan Satu Lagi Era 50 Tahun Keemasan – Presiden China

KUALA LUMPUR: Selepas persahabatan selama 50 tahun yang diungkap sebagai tahun keemasan, Presiden China Xi Jinping menyifatkan lawatan kali ini sebagai memulakan satu lagi era 50 tahun keemasan.

Dalam satu kenyataan bertulis yang dikeluarkan pihak kedutaan negara tembok besar itu, Xi Jinping berharap lawatan negaranya ke Malaysia akan mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara, menyambut “50 tahun keemasan” dalam hubungan China-Malaysia.

“Kita bersama akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kejiranan yang baik dan kerjasama saling menguntungkan, serta memulakan satu lagi era “50 tahun keemasan” dalam hubungan China-Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, Xi yakin lawatan selama tiga hari akan membuahkan hasil dan beliau yakin dengan usaha bersama China dan Malaysia.

“…. saya berharap dapat memperdalam lagi persahabatan tradisional kita, meningkatkan kepercayaan politik, memajukan kerjasama dalam pemodenan, menggalakkan pembelajaran bersama antara tamadun, dan meningkatkan tahap baharu dalam membangunkan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama,”katanya.

Xi juga turut mengenang lawatannya dua belas tahun lalu, malah menyifatkan lawatan tersebut sebagai negara pertama saya ke Malaysia dan membawa pulang kenangan manis yang sukar dilupakan.

“Kembali semula hari ini mengundang rasa hangat di hati. Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin merakamkan salam sejahtera dan ucapan tulus ikhlas kepada kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Xi turut menzahirkan penghargaan atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melawat Malaysia secara rasmi.

“Sepanjang lawatan ini, saya akan bertukar pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hubungan dua hala serta isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.

Presiden itu turut menyatakan bahawa hubungan diplomatik yang terjalin lebih setengah abad lalu telah menjadi contoh hubungan antara negara berasaskan saling menghormati, mempercayai dan bekerjasama untuk manfaat bersama.

Anda Mungkin Berminat