MRSM Kepala Batas dicadang tukar kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi

PETALING JAYA: Sebagai penghargaan terhadap jasa dan legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Kepala Batas dicadang dinamakan semula menggunakan nama Allahyarham.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau akan mendapatkan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk perubahan itu.

“Sebagai mengenang jasa Almarhum Pak Lah, saya akan mendapatkan persetujuan YAB Menteri untuk menamakan MRSM Kepala Batas kepada MRSM TUN ABDULLAH BADAWI.

“InsyaAllah dalam masa terdekat, saya telah minta pihak pengurusan MARA menyediakan kertas cadangan untuk menamakan MRSM Ulul Albab Kepala Batas dengan nama tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab terhadap MARA,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Tambah Asyraf, justifikasi utama penamaan semula MRSM tersebut adalah kerana agenda Ulul Albab, yang menjadi tunjang kepada pendidikan holistik berteraskan penguasaan ilmu sains, teknologi dan Al-Quran, telah mula diperkenalkan sewaktu era kepimpinan Allahyarham di bawah dasar Islam Hadhari.

“Atas sumbangan besar tersebut, Tun Abdullah dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya lagi.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 14 April di usia 85 tahun.

Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa lembut, berprinsip dan amat menitikberatkan perpaduan serta kemajuan rakyat dari sudut rohani dan intelektual.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara dengan penuh penghormatan negara, disaksikan ribuan rakyat termasuk pemimpin dalam dan luar negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat