PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kepimpinan allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah adalah lambang kepimpinan berhemah dan matang yang wajar dicontohi.
“Memang tepat apabila Tun Mahathir menyifatkan allahyarham Pak Lah lambang kepimpinan berhemah dan matang yang wajar dicontohi.
“Dia (Pak Lah) akur bila didesak letak jawatan.
“Pak Lah juga tidak pernah tinggalkan UMNO walaupun dia dalam ‘Team B’ ketika itu.
“Dia tidak tubuh parti baru apa lagi mahu membunuh UMNO,“ tulis Puad dalam nada sindiran kepada Tun Mahathir di Facebook pada Rabu.
Puad turut berkata, allahyarham tidak pernah menjadi pemimpin autokratik yang memerintah selama puluhan tahun,l dan beliau tidak pernah berusaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri selepas bersara.
“Dia tidak pernah berusaha untuk jadi PM lagi setelah bersara. Apa lagi untuk jadi PM interim.
“Dia legasi yang dicontohi. Jangan contohi hipokrasi,” tambah Puad lagi.