Penulis Lirik Era P. Ramlee Meninggal Dunia

SINGAPURA: Dunia seni kehilangan seorang tokoh penting apabila penulis lirik tersohor era kegemilangan Studio Jalan Ampas, Yusnor Ef, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sengkang awal pagi tadi.

Allahyarham yang juga dikenali dengan nama sebenar Mohamed Noor Mohamed Yusofe meninggal dunia sekitar pukul 2 pagi pada usia 87 tahun.

Memetik laporan BERITA Mediacorp, perkara itu disahkan anaknya, Noreeta Mohamed Noor, 47.

Menurut laporan, Yusnor dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas sehari sebelumnya.

Beliau juga difahamkan telah lama menghidap masalah jantung kronik sejak lebih 20 tahun lalu.

Menantu Allahyarham, Rahmad Basir, memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di 99 Saraca Terrace.

Yusnor Ef merupakan antara penulis lirik paling prolifik dan tokoh budaya yang aktif selama lebih lima dekad.

Beliau menghasilkan ratusan lirik lagu yang digubah oleh komposer-komposer ternama seperti Allahyarham Zubir Said dan khususnya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kerjasama erat antara Yusnor Ef dan P. Ramlee bermula ketika era kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas, Singapura, pada tahun 1950-an dan 60-an.

Yusnor bukan sahaja menulis lirik untuk lagu-lagu nyanyian P. Ramlee, tetapi turut menjadi antara individu penting yang menjayakan beberapa produksi muzik dan filem yang ikonik pada era tersebut.

Perpaduan antara lirik puitis ciptaan Yusnor dan melodi indah ciptaan P. Ramlee menghasilkan lagu-lagu abadi yang kekal relevan sehingga kini.

Lagu-lagu hasil sentuhan lirik beliau turut dinyanyikan oleh artis-artis terkenal seperti Anita Sarawak, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Sanisah Huri.

Antara lagu-lagu popular hasil nukilannya termasuk Gadis Idaman, Teruna Dara dan Di Pinggiran Hari Ini.

Atas sumbangan besarnya dalam dunia seni, Allahyarham pernah menerima anugerah Bintang Bakti Masyarakat.

Pemergian Yusnor Ef merupakan satu kehilangan besar kepada dunia muzik dan budaya Melayu, khasnya dalam mewariskan seni kata yang penuh nilai dan makna kepada generasi akan datang.

Anda Mungkin Berminat