Sin Chew Daily, letak jawatan atau ke muka pengadilan – Maszlee

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan Prof Dr Maszlee Malik menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily berikutan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini, beliau berkata bendera Malaysia menyentuh soal kedaulatan di negara ini.

Dengan nada marah beliau menegaskan, permohonan maaf hanya boleh diterima sekiranya ia dilakukan oleh mereka yang tiada pengetahuan, dungu dan jahil kerana kesalahan yang dilakukan itu secara terang-terangan dilakukan oleh syarikat penerbitan akhbar ternama.

“Sebuah akhbar yang tersohor berusia hampir 100 tahun diasaskan pada tahun 1929. Akhbar yang mempunyai pembaca lebih setengah juta serta mempunyai ketua editor dan para editor berpengalaman melakukan kesilapan pada bendera negara sendiri,” ujarnya.

Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Simpang Renggam turut mempersoalkan adakah dengan hanya permohonan maaf secara kecil begitu memadai.

“Seseorang perlu ambil tanggungjawab. Sama ada letak jawatan atau dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Ini kerana sekiranya tiada siapa daripada akhbar tersebut yang menggalas tanggungjawab setelah mencetuskan kesalahan itu maka maruah dan bendera negara akan secara terus diperlecehkan.

Katanya lagi, pihak berkuasa tidak seharusnya berkompromi dan mengambil tindakan yang tegas berhubung isu terbabit.

Sebelum ini, Sin Chew Daily telah mengeluarkan kenyataan permohonan meminta maaf atas kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di akhbarnya baru-baru ini.

Ujar akhbar berbahasa Mandarin itu, ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

“Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut.

“Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun sepuluh jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Pindaan segera telah dilakukan kepada ilustrasi versi digital.

“Ilustrasi yang dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula esok dalam versi cetak akhbar kami,” kata akhbar itu.

Terdahulu, tular di media sosial apabila terdapat kesilapan ilustrasi yang jelas menunjukkan bendera kebangsaan Jalur Gemilang dipaparkan tanpa bulan sabit dalam ahkbar cetak Chew Daily pada 15 April dan ia telah menimbulkan kemarahan oleh pelbagai pihak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat