PETALING JAYA: Empat individu tampil dengan akuan berkanun (SD) dan mengaku sebagai saksi mata serta mendakwa melihat Adun Hulu Kinta, Arafat Varisai Mahamad mengeluarkan pistol dalam kejadian pada 13 April lalu.
Preseen Nair Vijayakumaran, 34, menegaskan bahawa insiden Arafat mengeluarkan sepucuk pistol adalah benar dan bukanlah satu tuduhan palsu mahupun fitnah.
“Saya sendiri merupakan saksi mata kepada kejadian tersebut, bersama beberapa individu lain yang turut menyaksikan insiden itu dengan jelas.
“Kami telah tampil membuat SD bagi mengesahkan perkara ini secara rasmi dan bertanggungjawab,” katanya, memetik Malaysiakini pada Jumaat.
SD tersebut turut dibuat oleh lima individu lain, manakala dua daripada mereka tidak hadir pada sidang media yang diadakan di Ipoh hari ini kerana bekerja.
Selain Preseen Nair, SD tersebut turut dibuat oleh G Hasvin Kumara, 29; V Sehghar, 27; G P Nagaindran, 29; V Kavish Nair, 22 dan R Narayanasamy, 44.
Kesemua mereka merupakan ahli PKR cabang Tambun.
Pada 13 April lalu Malaysiakini melaporkan Arafat yang juga penyandang Ketua Cabang PKR Tambun menafikan dakwaan dia menunjukkan pistol kepada pencabarnya semasa kempen pemilihan parti.
“Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan,” katanya yang turut membuat laporan polis susulan dakwaan itu.
PKR Tambun bersama cabang-cabang lain di Perak telah mengadakan proses pemilihan parti pada Ahad lalu.
Arafat bagaimanapun tewas berdepan pencabarnya Shamsul Kamar Ani bagi jawatan Ketua Cabang PKR Tambun.
Terdahulu, A Kalaimughilan, yang merupakan rakan sepasukan Shamsul memuat naik satu video mendakwa Arafat hadir ke lokasi kempen dan menunjukkan pistol ke arah kumpulan mereka.
Kalaimughilan bersama beberapa individu lain mendakwa mereka mempunyai bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Dia turut mendakwa Arafat mengugut beberapa calon dalam pertandingan kali ini.
Preseen Nair berkata mereka dimaklumkan satu laporan polis telah dibuat oleh wakil pihak Arafat terhadap Kalaimughilan yang dikatakan membuat laporan palsu dan fitnah.
Tegasnya, individu yang membuat laporan bagi pihak Arafat itu tidak berada di tempat kejadian.
“Maka, timbul persoalan tentang asas kepada dakwaan bahawa laporan asal adalah tidak benar.
“Lebih mengelirukan, individu tersebut merupakan pegawai perhubungan yang bertugas di Pejabat YB Arafat, dan kenyataannya tanpa disokong fakta kukuh dilihat sebagai satu cubaan mengganggu proses siasatan pihak polis.
“Kami menyeru agar semua pihak memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil, bebas, dan telus,” katanya.
Katanya, kesemua mereka juga telah dipanggil pihak polis bagi memberi kenyataan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Sehubungan itu tambahnya, mana-mana pihak yang selepas ini mengeluarkan kenyataan atau membuat laporan polis yang mendakwa kejadian ini tidak berlaku, mereka sebenarnya menyebarkan maklumat palsu dan melakukan pembohongan secara terbuka.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan kes itu daripada seorang lelaki pada jam 12.28 tengah hari pada Ahad.
Menurutnya, lelaki terbabit memaklumkan telah berlaku kekecohan dalam jamuan majlis hari raya di Dewan Komuniti Taman Indah di sini.
Baca juga: