Kampung Sungai Baru… kisahnya

Oleh: Zulhasmi Shariff

ULASAN: Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru bukanlah suatu plot rampasan tanah oleh pihak luar seperti yang sering digembar-gemburkan.

Sebaliknya, proses ini bermula dengan inisiatif dalaman apabila Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru sendiri yang memulakan langkah mengundang pemaju untuk meninjau potensi pembangunan kawasan tersebut pada tahun 2016.

Perkara ini telah disahkan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, semasa menjawab Usul 18(1) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Haji Khalid Samad, di dalam Kamar Khas Dewan Rakyat pada 13 Disember 2021.

Menurut kenyataan rasmi Parlimen (Penyata Rasmi Kamar Khas Bil. 42), Shahidan menjelaskan:

“Pihak pemaju telah dipelawa oleh Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru pada tahun 2016 untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan Sungai Baru.”

Rentetan daripada jemputan tersebut, pemaju telah memulakan sesi penerangan, rundingan dan akhirnya menawarkan Perjanjian Usaha Sama (JV) kepada pemilik tanah pada tahun 2017. 

Berdasarkan laporan yang sama, sebanyak 66.77 peratus daripada pemilik telah bersetuju dan menandatangani perjanjian tersebut.

Namun begitu, selebihnya — termasuk 109 unit flat dan 37 lot rumah teres — enggan menerima tawaran pembangunan dan akhirnya terpaksa berdepan proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Shahidan menjelaskan lagi:

“Maka, perkara ini telah dilaksanakan dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.”

Notis pengambilan tanah di bawah Seksyen 4 dikeluarkan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan No. 9400 bertarikh 18 Jun 2021, manakala Seksyen 8 diwartakan pada 21 Jun 2021 melalui Warta No. 9412.

Kedua-dua pewartaan ini berlaku semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, dengan Tan Sri Annuar Musa memegang portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.

Keseluruhan proses pengambilan tanah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan, yang dianggotai oleh agensi-agensi seperti Pejabat Tanah & Galian WP Kuala Lumpur, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) — semua di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah.

Isu ini menjadi tular apabila segelintir pihak mempersoalkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan pembangunan swasta.

 Namun, perlu difahami bahawa projek ini bermula dengan jemputan oleh penduduk sendiri, dan kemudiannya dilanjutkan secara sah melalui perundangan yang tersedia.

Sebagai bekas Pegawai Khas kepada Menteri Wilayah ketika itu, YB Khalid Samad, saya ingin menegaskan bahawa pendekatan kami sentiasa berpaksikan prinsip musyawarah, kelestarian komuniti, dan ketelusan maklumat.

Namun, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, segala kuasa dan keputusan berkaitan tanah ini telah diambil alih sepenuhnya oleh pentadbiran baharu bermula 2020.

Kisah Kampung Sungai Baru bukan hanya soal fizikal tanah yang hilang, tetapi juga mencerminkan bagaimana kesatuan komuniti, transparensi, dan penglibatan awal dalam proses pembangunan boleh menentukan masa depan sesebuah kampung warisan.

***Penulis merupakan seorang peguam dan bekas pegawai khas kepada Menteri Wilayah, YB Khalid Samad

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat