Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Lawatan Presiden China Xi Jinping di Malaysia melambangkan usaha kerajaan untuk mempelbagaikan lagi pasaran ekonomi dan rakan dagang negara, sekali gus tidak ‘meratap’ dengan tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan lawatan Jinping telah membuka lebih banyak lagi ruang buat negara dalam menembusi pasaran di negara gergasi itu.
“Negara bahkan mendapat limpahan yang positif hasil daripada lawatan Presiden Xi Jinping pada baru-baru ini.
“Membuka lebih banyak lagi kerjasama antara perniagaan di China dan Malaysia terutamanya dari kerjasama bagaimana perpindahan teknologi boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Bangkit bagi mengulas mengenai impak serta kesan hasil daripada lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari baru-baru ini.
Berhubung kejayaan Malaysia secara rasminya berjaya mendapat kelulusan daripada Xi sendiri untuk mengeksport kelapa segar ke dalam pasaran negaranya, Mohd Afzanizam berkata sektor pertanian negara bakal mendapat limpahan yang positif khususnya buat para peladang mengusahakan tanaman kelapa tersebut.
“Limpahan positif itu pasti kita perolehi kerana pasaran negara China merupakan pasaran yang mempunyai kuasa beli yang terbesar dengan jumlah penduduknya yang melebihi 1 bilion,” ujarnya.
Katanya lagi, negara sedia maklum dengan perlaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS), yang mana ia menuntut negara untuk memikirkan strategi dalam mencari peluang dan rakan dagang baharu yang lebih berdaya saing.
“Dan kita pun sedia maklum bahawa pendirian kerajaan adalah untuk tidak mengenakan tarif timbal balik terhadap AS dan saya kira ia satu pendekatan yang tepat oleh kerajaan.
“Dan dalam masa ini, kerajaan sedang berusaha untuk berunding dengan kerajaan AS bagi mencapai suatu penyelesaian yang menang-menang,” ujarnya.

Terdahulu, dalam pertemuan dua negara Malaysia dan China di Kompleks Seri Perdana pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Bersama Presiden China Xi Jinping membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Hasil pertemun itu, sebanyak 31 dokumen termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) yang memuatkan perjanjian dan nota persefahaman yang dapat disaksikan antara Malaysia dan China.
Untuk rekod, Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan memperingati ulang tahun ke-50 pencapaian tersebut pada tahun lepas.
Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Pada 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.
Baca juga: