Parlimen Malaysia seru seluruh dunia perkukuh isu Palestin

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dunia perlu diingatkan bahawa isu Palestin merupakan konflik berkait kemanusiaan dan bukan sekadar isu agama mahupun politik.

Perkara itu ditegaskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang turut memaklumkan Parlimen Malaysia bakal mendukung penuh usaha dalam mewujudkan kumpulan Parlimen yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Inisiatif ini adalah satu langkah yang sangat tepat pada masanya, mencerminkan peranan institusi legislatif yang semakin anjal dan responsif terhadap isu-isu kemanusian dan keadilan sejagat,” katanya.

Johari Abdul menjelaskan penyertaan tersebut lebih luas dari Parlimen seluruh dunia serta bakal memperkukuh lagi mesej solidariti dan menambah kekuatan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Malaysia percaya bahawa usaha ini tidak seharusnya menjadi inisiatif jangka pendek.

“Ia perlu disusuli dengan tindakan yang konsisten dan berstrategi agar perjuangan ini harus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan keadilan dapat ditegakkan untuk Palestin pada masa hadapan,” kata Johari.

Pada perkembangan yang sama, beliau ketika berucap pada ‘Mesyuarat Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin’ yang berlangsung di Istanbul, Turkiye pada baru-baru ini berkata, Parlimen Malaysia akan terus menjadi suara lantang di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah lama dizalimi.

“Malaysia juga menyokong penuh pelan pembangunan semula Gaza yang diketengahkan oleh Mesir dan menyeru agar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dilaksanakan segera,” katanya.

Anda Mungkin Berminat