Ubah diri sendiri sebelum ubah negara – PM

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kesedaran individu, tahap kefahaman serta keprihatinan terhadap isu sosial, nilai moral dan tanggungjawab sebagai warganegara merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat progresif dan negara yang sejahtera.

Perkara itu ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi panel di dalam Forum Ilmuan Madani (FIM) Siri ke-5 pada Jumaat.

Menurut Anwar, perubahan perlulah bermula daripada diri sendiri sebelum mampu memberi kesan yang signifikan kepada negara secara menyeluruh.

“Elemen kesedaran dalam masyarakat ini perlu mengambil kira perubahan dunia semasa, termasuk kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang banyak mempengaruhi masyarakat dari segi kemajuan dan gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Siri-5 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Live pada Jumaat.

Tambah beliau, teknologi terbabit amat memerlukan pengawalan dan penyesuaian supaya manfaatnya dapat dimanfaatkan secara adil dan beretika.

Dalam forum berkenaan, beliau turut mencadangkan penubuhan Fakulti AI sebagai langkah satu langkah yang penting dan selari dengan arus perubahan dunia yang begitu menuntut kebersamaan semua pihak agar kita mampu bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.

Di penghujung majlis, beliau mengingatkan bahawa lonjakan dan perubahan merupakan kunci sekiranya mahu membentuk sebuah negara yang benar-benar maju.

Terdahulu, Forum pada kali ini dikatakan telah menyentuh topik “Peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Dalam Mentransformasikan Syarikat: Mengimbangi Keuntungan dan Tanggungjawab Sosial Untuk Mencetuskan Negara yang Berdaya Cipta”.

Pada malam forum itu dilihat terdapat penampilan oleh ahli-ahli panel yang terdiri daripada Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd yang juga ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat