FILEM aksi Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta fenomena apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM45.7 juta selepas 11 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Filem arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini diterbitkan oleh Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS), dan kini dinobatkan sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini berbanding filem-filem lain yang sedang ditayangkan.
Mengangkat tema aksi dan persaudaraan, filem penuh debaran ini mendapat perhatian penonton menerusi jalan cerita yang mendebarkan serta lakonan mantap barisan pelakonnya.
Menurut Datuk Yusof Haslam selaku Pengerusi Skop Production merangkap Penerbit Eksekutif bersama, Blood Brothers dijangka bakal mengatasi kutipan filem Sheriff tidak lama lagi.
“InsyaAllah, kita mungkin boleh mencapai kutipan filem Sheriff selama sebulan dalam tayangan sekiranya sokongan luar biasa daripada penonton akan berterusan sehingga akhir” katanya dipetik.
Selepas menjayakan siri jelajah promosi di Johor, Melaka, Lembah Klang dan Sabah, para pelakon Blood Brothers: Bara Naga bakal meneruskan rangka jelajah ke Kedah dan Pulau Pinang hujung minggu ini.
Sambutan luar biasa di setiap lokasi sebelum ini membuktikan filem ini benar-benar mendapat tempat di hati peminat tempatan.
Barisan pelakon yang menjayakan filem ini termasuklah Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahya, Wan Hanafi Su, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap dan Zamarul Hisham.
Baca juga: