PUTRAJAYA: Sidang Khas Parlimen yang berlangsung 5 Mei ini, berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia akan dimulakan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, sidang khas berkenaan akan berlangsung di Dewan Rakyat bermula jam 11 pagi.
“Ia akan dimulakan dengan kenyataan Perdana Menteri, diikuti sesi perbahasan, yang menyaksikan kedua-dua pihak Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan.
“Sesi ini kemudian digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang media mingguan pasca Kabinet di kementeriannya pada Rabu.
Fahmi juga berkata, Surat Pemberitahuan Sidang Khas Parlimen itu akan dikeluarkan Anwar yang juga Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen kepada semua Ahli Parlimen hari ini.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Tengku Zafrul dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kini berada di Washington, Amerika Syarikat, untuk rundingan dan mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif.
“Kita perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri. Harapan saya minggu depan kita ada sedikit maklumat hasil lawatan tersebut,” katanya.
Baca juga: