Tarif AS: Tengku Zafrul, MITI komited cari jalan penyelesaian terbaik

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif balas demi kepentingan bersama.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang kini berada di Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk lawatan selama dua hari berkata, satu perbincangan bersama dengan pasukan MITI diadakan sebelum sebelum bertemu pegawai kanan kerajaan AS.

“Tiba di Washington D.C. untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia!

“Sebelum bertemu pegawai kanan Kerajaan Amerika Syarikat, saya adakan perbincangan dengan pasukan MITI di sini.

“Kita teliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia-AS. Kerja keras dan perancangan rapi penting untuk hasil yang positif. Kita komited untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook pada Rabu.

Beliau dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer dan pegawai lain yang berkaitan di Washington pada 24 April.

Dalam satu hantaran lain, Tengku Zafrul juga telah mengadakan sesi perbincangan yang produktif di Washington bersama pegawai kanan APEC AS, Duta Matt Murray.

“Mencari jalan penyelesaian perdagangan yang adil dan saksama.

“Malaysia hadir sebagai rakan yang membina, bukan sahaja dalam konteks dua hala tetapi juga sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan ahli APEC yang komited.

“Kami menghargai keterbukaan AS untuk mendengar dan bersedia untuk meneruskan perbincangan secara berstruktur demi manfaat bersama,” katanya.

Malaysia merupakan antara 21 ekonomi anggota dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei depan bagi membincangkan isu tarif timbal balas yang dikenakan AS terhadap negara ini.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.

Bagaimanapun, keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara kecuali China.

Langkah itu disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat