Keputusan Rayuan Syed Saddiq 25 Jun depan

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 25 Jun 2025 bagi menyampaikan keputusan mereka berhubung rayuan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membatalkan sabitan dan hukuman dikaitkan perbuatan bersubahat dengan kes pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan harta dan pengubahan wang haram.

Memetik laporan media tempatan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tarikh keputusan itu ditetapkan ketika prosiding pengurusan kes terbabit, hari ini.

Sebelum ini, panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tiga hari untuk mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan terhadap rayuan Syed Saddiq selepas beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.

Syed Saddiq, 33, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk bersubahat dengan CBT, penyelewengan harta benda dan pengubahan wang haram.

Beliau dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dengan satu sebatan kerana bersubahat dengan CBT membabitkan RM1 juta dana Pemuda Bersatu (Armada).

Syed Saddiq turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan kerana menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Selain itu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10 juta dengan hukuman ingkar empat tahun bagi dua pertuduhan penggubahan wang haram.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Sekiranya rayuan itu berjaya, Syed Saddiq akan dibebaskan, walaupun pihak pendakwaan masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.

Jika ditolak, Syed Saddiq akan mempunyai satu peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat