Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal meluncurkan Majlis Warisan KL, Warisan Ibu Kota Malaysia Madani esok sebagai inisiatif penting membugar semula nadi ibu kota.
Menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Anwar, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan pembugaran semula kota ibu negara itu bukan sekadar dari aspek fizikal tetapi juga melalui pemuliharaan budaya, sejarah dan pengukuhan nilai komuniti.

“Projek ini menjadi pemangkin kepada pembangunan berteraskan warisan, kreativiti dan penglibatan komuniti.
“Ia juga bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar kreatif dan berkebudayaan, yang bukan sahaja membina bangunan, tetapi juga membina jiwa dan jati diri warganya,” katanya pada Khamis.
Ujarnya lagi, Anwar turut melihat Warisan KL sebagai lambang pemulihan jiwa kota, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berasaskan nilai dan peradaban.
“Sejak awal pentadbiran beliau, Anwar sering menegaskan bahawa pembangunan tidak harus diukur semata-mata dengan pencakar langit atau projek-projek mega, tetapi dengan apa yang dapat menyentuh kehidupan rakyat, membina kota yang hidup, inklusif dan bermakna.

“Warisan KL adalah manifestasi nyata prinsip itu, membina masa depan tanpa meminggirkan akar dan nilai. Lebih penting diutamakan usaha mengukuhkan nilai, budaya dan warisan negara, agar dapat dimanfaatkan rakyat jelata serta untuk dinikmati pelancong,” kata Anwar.
Justeru katanya, usaha kerajaan untuk memulihara tapak-tapak warisan sejarah sekali gus membangkitkan rasa cinta kepada warisan sejarah negara.
Ujarnya, pelaburan kerajaan itu akan membawa limpahan hasil pada rakyat, justeru sebarang mercu tanda sejarah kepada pembangunan negara akan terus dipelihara.
Difahamkan, majlis itu turut menghimpunkan pelbagai rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Think City, Khazanah, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pemain seni dan budaya.
Baca juga: