Helikopter TLDM berjaya darat di atas kapal Maritim Malaysia di perairan Sabah

KOTA KINABALU: Sebuah pencapaian bersejarah tercatat di perairan Sabah apabila helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melakukan pendaratan pertamanya di atas kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM BANGGI.

Menerusi satu hantaran di Facebook Maritim Malaysia, peristiwa itu bukan sahaja menggambarkan peningkatan kerjasama antara dua agensi pertahanan negara, malah memaparkan kesiapsiagaan dan kemahiran luar biasa.

“Latihan ‘Deck Landing Training’ (DLT), yang berlangsung sebagai sebahagian daripada Fasa Laut Penentuan Tahap Kecekapan Kapal (PTKK) untuk KM BANGGI dan KM IKHLAS, membuka lembaran baru dalam sejarah operasi laut Maritim Malaysia.

“Latihan tersebut dilaksanakan oleh Cawangan Latihan dan Operasi (CLO), Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), dari 22 hingga 26 April.

“Helikopter HOM AW139 daripada Skuadron 503, Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK), memainkan peranan utama dalam latihan ini,” katanya.

Tambah Maritim Malaysia, Pegawai Flight Deck Officer (FDO), Laskar Kanan Maritim Freddy Jango dan Helicopter Approach Controller (HAC), Laskar Kanan Maritim Farid Hussein turut memberikan sumbangan signifikan dalam menjayakan pendaratan bersejarah ini.

“Latihan ini melibatkan persiapan rapi termasuk ‘dry run’, hasil bimbingan dan koordinasi pasukan SUKK bersama kru KM BANGGI dan KM ARAU,” kata kenyataan itu lagi.

Diketuai Pegawai Memerintah KM BANGGI, Komander Maritim Mahathir Mohammad menunjukkan kejayaan, kematangan dan kesediaan kapal luar pesisir pantai (OPV) untuk menyokong operasi udara dengan lebih baik.

Katanya, pendaratan itu juga menjadi bukti kebolehan teknikal dan profesionalisme anggota TLDM dan Maritim Malaysia.

“Latihan ini adalah langkah proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan kami untuk menghadapi pelbagai operasi pelbagai domain di laut lepas,” katanya.

Maritim Malaysia turut menghargai peranan Jawatankuasa Kerjasama Kecil (J3KAT Timur) TLDM – Maritim Malaysia yang memastikan kelancaran koordinasi latihan itu.

Anda Mungkin Berminat