Kerajaan Negeri Diseru Wujud Undang-Undang Perkongsian Data – Gobind

PETALING JAYA: Kementerian Digital menyeru setiap negeri mewujudkan undang-undang berkaitan perkongsian data selepas Kerajaan Persekutuan melaksanakan Akta Perkongsian Data 2024 bermula hari ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, usaha itu sebagai batu loncatan untuk Malaysia menjadi sebuah negara digital sepenuhnya apabila perkongsian data dapat dilaksanakan dengan lebih meluas di semua peringkat.

“Kami juga sedang berusaha untuk melibatkan pemain industri dalam merangka mekanisme yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan dan sektor industri pada masa akan datang.

“Langkah ini akan membolehkan penggunaan teknologi secara meluas, tadbir urus berasaskan data, serta penyelesaian teknologi masa depan yang membolehkan negara kita mengoptimumkan manfaat teknologi untuk rakyat dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Malaysia hari ini melakar sejarah baharu dengan penguatkuasaan akta tersebut, satu inisiatif penting yang dijangka merevolusikan cara data dikongsi dan digunakan di sektor awam negara.

Jelas Gobind, akta ini mewujudkan kerangka perundangan berstruktur bagi memastikan perkongsian data antara kementerian dan agensi kerajaan persekutuan dapat dilaksanakan secara selamat dan berkesan.

“Akta ini memperkenalkan proses rasmi untuk permohonan data antara agensi persekutuan, dengan setiap permohonan akan dinilai secara ketat oleh Jawatankuasa Perkongsian Data Kebangsaan, berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini akan menggalakkan akauntabiliti serta memastikan perlindungan data peribadi rakyat terus terpelihara.

Anda Mungkin Berminat