Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Malaysia mendapat kunjungan kehormat oleh Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu sampai di ibu kota pada Ahad dan kira-kira 9 pagi tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Bangunan Perdana Putra.
Muizzu kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan daripada 102 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu hubungan dua hala dan peluang kerjasama antara Malaysia dan Maldives terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta sukan.
Kedua-dua figura itu juga saling bertukar fikiran berhubung isu serantau dan antarabangsa yang berkaitan dengan kepentingan Malaysia-Maldives.
Mereka turut dijangka menyaksikan majlis pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) iaitu mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan.
Selain itu, pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) akan turut disaksikan kedua-dua pemimpin membabitkan bidang Latihan Diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia serta Maldives.
Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatat peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (AS$189 juta), berbanding RM827.3 juta (AS$180.9 juta) pada 2023.
Maldives adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
Baca juga: